JOHOR BAHRU, 6 Disember- Dua lelaki warga asing berumur 47 dan 54 tahun, ditahan polis di Johor Bahru, Johor, dipercayai menjadi dalang sindiket kutip derma.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kedua-duanya ditahan pukul 11 pagi 3 Disember lalu.
Jelas beliau, pihaknya turut menyelamatkan lima lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan, berumur 21 hingga 70 tahun yang dijadikan pengutip derma oleh sindiket.
Siasatan awal mendapati sindiket aktif sejak pertengahan 2019, beroperasi sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam, dan Simpang Renggam.
Kedua-dua suspek berperanan, menjadi pemandu dan perancang sindiket, memperdaya orang ramai dengan mendakwa hasil kutipan bertujuan membiayai sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkhla, Thailand.
Suspek, yang merupakan adik-beradik, juga positif dadah jenis ketamin.
Turut dirampas, dua kereta, enam tabung dan surat perlantikan wakil memohon sumbangan ikhlas, menggunakan kepala surat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Suspek direman sehingga 10 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.