fb fb fb fb fb

'Abang Bas' mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

Mohammad Norhadhim Sari, 24 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual di Simpang Renggam, Kluang / Foto RTM

MUAR, 10 September – Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual di Simpang Renggam, Kluang, sejak April lalu.

Tertuduh, Mohammad Norhadhim Sari, 24 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bagi maksud seksual.

Kesalahan tersebut dilakukan di dalam bas sekolah di Simpang Renggam, antara pukul 5 hingga 6 petang, dari April hingga September 2024.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa memerhati seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang kali bagi maksud seksual di lokasi yang sama, pada September 2024.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan menetapkan 10 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain, manakala kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Norhadhim, dikenali sebagai 'Abang Bas', ditahan polis pada 6 September lalu selepas memuat naik video murid sekolah rendah di akaun media sosialnya.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN