fb fb fb fb fb

9 PATI ditahan, seorang maut di Langkawi

Antara PATI yang ditahan di sekitar Langkawi / Foto APMM

LANGKAWI, 9 November - 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar daripada etnik Rohingya dan Bangladesh ditemukan di perairan serta sekitar Langkawi.

Daripada jumlah itu, seorang wanita warga Rohinyga ditemukan maut di persisiran pantai Teluk Cincin.

Menurut Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga Rohingya serta dua lelaki Bangladesh.

“Mereka ditemui di beberapa lokasi berbeza. Tiga ditemui di Jeti Kilang Simen Teluk Ewa, seorang di Pulau Anak, seorang di Kelab Golf Teluk Datai, seorang di Tanjung Belua dan tiga di Jeti Harbour Park,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam media melaporkan sebuah bot dipercayai membawa 90 PATI daripada Myanmar, Bangladesh dan Rohingya karam di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Bot berkenaan sebahagian daripada kapal besar yang membawa kira-kira 300 orang sebelum dihantar sindiket penyeludupan ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara.

Bot yang membawa 90 orang tersebut dipercayai karam,manakala dua lagi masih belum dapat dikesan dan dalam siasatan pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

EMMI NORALIZA ADNAN