LUNDU, 27 Oktober - Cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk melalui lorong tikus berhampiran Pos Gabungan Malaysia – Indonesia (GABMA) Biawak gagal selepas dikesan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNIAD).
Jurucakap Markas 1 Divisyen Infantri berkata pengusiran dilakukan sebanyak dua kali dengan jarak kira-kira 350 dan 245 meter dari sempadan negara jiran.
"Pengusiran pertama membabitkan seorang lelaki pada pukul 7.45 pagi, manakala pengusiran kedua melibatkan 8 orang lagi, iaitu lima lelaki dan tiga wanita pada pukul 12.45 tengah hari tadi.
"Hasil daripada penahan dan pemeriksaan, mereka yang ditahan dalam lingkungan umur 24 hingga 43 tahun," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua PATI terbabit tidak menemui sebarang barangan terlarang dan berbahaya.
Mereka kemudiannya diiring ke kawasan sempadan Malaysia-Indonesia untuk tindakan pengusiran.
"Satu laporan polis mengenainya turut dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa," katanya.