fb fb fb fb fb

534 kes penipuan di Johor, rugi RM26.43 juta bagi tempoh bulan Januari

JOHOR BAHRU, 5 Februari - Polis Johor merekodkan nilai kerugian kes penipuan berjumlah RM26.43 juta sepanjang bulan Januari tahun ini, berbanding RM8.43 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sebanyak 534 kes penipuan pelaburan dicatatkan berbanding 231 kes, tahun lalu.

Jelas Kumar, empat jenis penipuan merekodkan peningkatan ketara termasuk 127 kes belian dalam talian , 107 kes pelaburan, 77 kes pinjaman tidak wujud dan 77 kes tawaran kerja.

Katanya, golongan profesional turut menjadi mangsa penipuan pelaburan.

"Semua boleh jadi mangsa scam (tipu), jadi kita kena fikir, jangan terjerat dengan penipuan, jangan terpedaya dengan mereka-mereka ini, contohnya mungkin pulangan bulan pertama dia bagi, bulan kedua dia minta kamu tambah lagi top up, bulan ketiga, dia tutup akaun dia hilang," katanya selepas mengadakan sesi walkabout jenayah bersempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Bazar Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Beliau menyeru agar masyarakat berwaspada berkaitan kes penipuan berkenaan, terutamanya pada musim sambutan raya cina ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN