JOHOR BAHRU, 10 November -Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan di beberapa premis makanan sekitar bandar ini, semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi turut menyaksikan seorang pembantu pengurus premis warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
Semua PATI berusia antara 21 hingga 51 tahun, membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Filipina.
Hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan, termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Kesemua mereka kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, pembantu pengurus premis yang ditahan disiasat bawah peruntukan sama kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran sah.