SARATOK, 12 November - Polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun di sekitar Kabong dan Saratok pada Isnin kerana dipercayai terlibat sebagai keldai akaun.
Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek ditahan antara pukul 11 pagi hingga 2 petang hasil risikan dan maklumat awam.
“Kad debit milik kedua-dua suspek dipercayai digunakan dalam empat kes penipuan yang dilaporkan di Pahang, Sabah, Selangor dan Johor, dengan jumlah kerugian keseluruhan RM86,364,” katanya ketika dihubungi RTM di Kuching.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek menafikan penglibatan mereka dalam mana-mana kes penipuan berkenaan.
Kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.