JOHOR BAHRU, 4 Disember- 18 lelaki warga China berumur 25 hingga 45 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, atas pertuduhan melakukan pakat jenayah, mewujudkan satu aplikasi perjudian di Iskandar Puteri, Johor, pada 27 November lalu.
Pengakuan dibuat dihadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Jalan Forest City Satu, Lebuhraya Tanjung Pelepas, pada pukul 12 tengah hari.
Perbuatan tersebut melanggar Seksyen 4B ( b ) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin RM5,000 setiap seorang, dengan dua penjamin warga tempatan, selain passport diserahkan kepada mahkamah.
Kes disebut semula pada 9 Januari tahun hadapan, bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Nur Helmi A. Halim.