fb fb fb fb fb

11 individu ditahan bawah SOSMA, terlibat aktiviti kumpulan jenayah

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 27 November - Polis Pulau Pinang berjaya menahan 11 individu disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan yang menjalankan jenayah di sekitar Pulau Pinang.

Penahanan dibuat pada Selasa lepas, kira-kira pukul 3.30 pagi, menerusi tindakan khas, Op Cantas Mutiara (Bil 4) yang dijalankan Bahagian Jenayah Terancang (D14) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dibantu Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

“Kesemua suspek adalah lelaki dewasa dipercayai telah bergiat aktif dengan kegiatan terbabit sejak tahun 2020.

“Kes disiasat bawah Seksen 130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua suspek direman bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA) selama 28 hari bermula hari ini hingga 28 Disember depan.

ROSLINA BINTI DIN