LANGKAWI, 24 Oktober- 10 nelayan terdiri daripada lima nelayan tempatan dan lima nelayan warga Thailand ditahan selepas didapati menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Kesemua mereka menaiki dua bot berasingan ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda di perairan Tanjung Belua, di sini pagi semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah Sukri Deris berkata, kedua-dua buah vesel Pukat Tunda Zon C itu ditahan anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Langkawi bersama-sama (PKOPP) Perlis.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan didapati menangkap ikan pada jarak antara 5.2 batu nautika hingga 5.5 batu nautika daripada daratan atau pulau terhampir.
"Bot dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM1 juta disita selain merampas, 600 kilogram hasil tangkapan bernilai kira-kira RM6,000," kata Sukri.
Kes tersebut diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Perikanan Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 bawah kesalahan cubaan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.
Dalam pada itu Sukri mengingatkan para nelayan agar tidak bertindak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan berhampiran pantai kerana ia akan mengakibatkan berlakunya penurunan sumber perikanan drastik di kawasan perairan berdekatan pantai apabila anak-anak ikan terperangkap dalam pukat tunda yang digunakan.
"Kawasan pesisir pantai sangat perlu dipelihara kerana ianya salah satu kawasan yang sangat penting sebagai kawasan nurseri tumbesaran anak ikan pelbagai spesies ikan marin.
"Kegiatan pencerobohan ini juga akan membantutkan segala usaha pihak jabatan dalam memastikan sumber perikanan negeri ini senantiasa terpelihara dan diuruskan secara mapan," katanya lagi.