fb fb fb fb fb

1,916 warga emas jadi mangsa 'scammer' dari Jan-Ogos

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 September - 1,916 warga emas menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini melibatkan kerugian lebih RM255 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataan memberitahu, meskipun bilangan mangsa daripada kelompok itu lebih rendah berbanding kategori umur yang lain, namun nilai kerugian direkodkan adalah tinggi.

Justeru ujarnya, golongan tersebut menjadi sasaran yang bernilai tinggi.

"Dalam tempoh tiga tahun (2021 hingga 2023), seramai 86,266 individu telah menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian."

"Daripada jumlah tersebut, 5,533 mangsa atau 6.4 peratus merupakan golongan berusia 61 tahun ke atas," katanya.

Tambah beliau, bagi tempoh tiga tahun tersebut, jumlah kerugian yang direkodkan bagi kes penipuan dalam talian ialah RM2.7 bilion dan RM550 juta atau 20 peratus daripadanya adalah kerugian melibatkan warga emas.

"Manakala untuk tahun ini, 1,916 warga emas atau 8.9 peratus daripada 21,535 kes yang direkodkan hingga Ogos merupakan warga emas."

“Bagi tempoh sama, kerugian melibatkan mangsa warga emas telah mencecah RM255 juta atau bersamaan 27.9 peratus daripada keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM914 juta,” ujarnya.

Trainee2