IPOH, 2 Oktober- Sebanyak 1,338 serbuan dilakukan membabitkan 1,604 orang individu menerusi Ops Dadu bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi kenyataan memaklumkan, polis turut merampas 397 buah alat peranti termasuk wang rampasan berjumlah RM246,793.
Bagi tempoh tersebut, sebanyak 839 pertuduhan ke atas tangkapan berjaya dijalankan.
Polis turut membuat 90 pemotongan bekalan elektrik ke atas premis-premis perjudian yang terlibat dan membatalkan 53 permohonan lesen perniagaan.
Ia di bawah Seksyen 21(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sekatan Ke Atas Laman Web Berunsur Perjudian Atas Talian.
Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman juga telah membuka dua kertas siasatan ke atas ahli sindiket perjudian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari Aktiviti Haram (AMLATPUAA) 2001.