NASA lancar roket gergasi ke bulan
(NASA bakal lancar roket mega Artemis 1 teruskan misi ke bulan/AFP)
FLORIDA, 16 November - Roket gergasi akan dilancarkan ke bulan tengah malam ini (waktu Malaysia) dari Florida oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Pelancaran tersebut merupakan kali ketiga selepas dua percubaan sebelum ini gagal.
Cuaca dijangkakan baik dengan peluang 80% untuk dilancarkan dalam tempoh dua jam bermula pada pukul 1.04 pagi waktu tempatan.
Roket Artemis 1 yang setinggi 32 tingkat itu disifatkan Sistem Pelancaran Angkasa paling berkuasa pernah direka oleh NASA.
Ia membawa misi penerbangan ujian tanpa angkasawan untuk membina 'tapak kekal' di bulan dan kajian bagi persediaan untuk penerokaan masa depan ke Marikh pada 2030.
Jika pelepasan tengah malam ini berjalan seperti dirancangkan, misi itu akan berlangsung selama 25 hari setengah, dengan pendaratan di Lautan Pasifik pada 11 Disember.
Percubaan pertama melancarkan Artemis 1 pada Ogos lalu ditunda kerana masalah pendinginan mesin.
Begitu juga percubaan kedua pada September lalu apabila Artemis 1 mengalami masalah kebocoran bahan bakar. - AFP
(Roket Artemis 1 untuk ke bulan milik NASA di Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida/AFP)
- Written by Media Baharu
- Category: Teknologi
- Hits: 1309