Monday, 5 December 2022

Teknologi AI sekat spesis invasif hidupan akuatik

(Teknologi AI yang digunakan mengesan spesis yang mengancam hidupan akuatik)

NORWAY, 28 Oktober- Kecerdasan buatan (AI) sedang diuji di Norway sebagai kaedah untuk mengenali ikan dan menyekat spesies invasif daripada memasuki perairan mereka.

Huawei telah bekerjasama dengan organisasi tempatan 'Berlevag Hunting and Fishing Association' (BJFF), menggunakan kaedah tradisional dengan sukarelawan menyelam di sungai dan menggunakan mata manusia untuk mengenal pasti spesis ikan yang boleh mengancam hidupan akuatik.

"Kami sentiasa percaya bahawa teknologi adalah salah satu cara utama untuk menyelesaikan banyak cabaran dihadapi dunia. Kami percaya bahawa teknologi juga boleh menyumbang dalam menyelesaikan kes ini," Kenneth Frederiksen, Naib Presiden Eksekutif Huawei CEE dan Wilayah Nordic memberitahu Reuters.

Cabaran untuk mencari penyelesaian teknologi bermula pada tahun 2021 dengan matlamat mencari jalan untuk mengenal pasti ikan yang berbeza dan menapis spesies yang mengancam hidupan akuatik yang lain.

Salah satu spesies invasif utama ialah salmon bungkuk yang dikenali sebagai salmon merah jambu.

Kehadiran spesis itu di Norway menyebabkan kerosakan ketara kepada industri perikanan, pelancongan dan ekosistem semula jadi.

(Ikan salmon yang memasuki perairan Norway dan mengancam ekosistem semula jadi)

Penyelidikan yang dijalankan oleh saintis menunjukkan lebih daripada sejuta salmon bungkuk akan memasuki sungai Norway tahun depan sekali gus meningkatkan jumlah ikan salmon di Norway.

Pada 2021 Huawei melaporkan dua fasa pertama projek itu telah siap.

Fasa satu algoritma AI untuk mengenali ikan telah dibangunkan dan pada Julai 2021 fasa kedua menyaksikan penempatan kamera bawah air di stesen pemantauan Sungai Storelva.

Fasa tiga telah digunakan pada Jun 2022, sistem penapisan menggunakan aplikasi AI dan pintu mekanikal diperkenalkan dengan keupayaan untuk menghalang salmon bungkuk daripada memasuki sungai.

"Sekiranya ikan itu dikenal pasti melalui kamera dengan bantuan aplikasi AI pintu pagar tersebut akan terbuka selama beberapa saat membolehkan ikan melaluinya," jelas Frederiksen. “Jika ikan salmon bungkuk misalnya... maka ikan ini akan dipandu masuk ke dalam tangki di dalam sungai,” tambah Frederiksen.

Huawei berkata penyelesaian itu mesra alam dengan sokongan masyarakat tempatan dan melihat buruh manual mereka dikurangkan sebanyak 90%.

Syarikat teknologi itu berharap teknologi itu dapat digunakan di seluruh Norway dan Eropah serta lokasi yang mengganggu spesis hidupan akuatik- REUTERS

  • Written by Media Baharu
  • Category: Teknologi
  • Hits: 262