Penglibatan masyarakat dalam aktiviti inovasi meningkat
- Written by Media Baharu
- Published in Teknologi

TANJUNG MALIM, 3 Februari- Tren penglibatan masyarakat dalam aktiviti berasaskan inovasi semakin mendapat sambutan.
Ia dibuktikan menerusi 1.88 juta penyertaan pelajar dan belia dalam penganjuran Minggu Sains dan Inovasi tahun lalu.
Jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang perkembangan itu didorong kesedaran ibu bapa akan kepentingan pembudayaan sains dan teknologi di peringkat awal kanak-kanak.
"Dalam tempoh 5 hingga 10 tahun ini, memang STI kita ada nampak ibu bapa memang faham kepentingannya dan juga usaha mosti dalam membudayakan STI ini.
"Ada banyak faktor dan ini satu perkembangan positif dan kami di pihak mosti akan terus membudayakan sti dan kita harap ibu bapa dan para pendidik boleh membantu kita dalam menggiatkan lagi usaha ini," katanya.
(Chang Lih Kang)
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi MOSTI 2023, di sini hari ini.
Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI itu menghimpunkan sehingga 20 jabatan dan agensi di bawah MOSTI.
Senada dengan cogan MOSTI "Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi" karnival dianjur bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta orang awam mengenai teknologi dan inovasi yang dibangunkan.
Turut dilancar dalam majlis sama, “Road to Minggu Sains Negara 2023” yang bakal dianjurkan bermula bulan April hingga Oktober 2023.