Wednesday, 8 February 2023

 

Satelit boleh guna semula pertama di dunia tawar pembuatan mikrograviti

  • Published in Teknologi

(Ilustrasi imej satelit oleh Space Forge/REUTERS)

ENGLAND, 28 Oktober- Satelit pertama di dunia pergi balik dan boleh diguna semula sedia untuk dilancarkan, menandakan era baharu akses kepada angkasa lepas dan mikrograviti, iaitu keadaan pengaruh graviti menghampiri nilai sifar atau hampir tiada tarikan graviti.

Space Forge yang membangunkan teknologi itu menjelaskan, misi adalah untuk menawarkan pembuatan di angkasa bagi bahan tersebut yang tidak boleh dihasilkan di Bumi bersama kapal angkasa kecil baharu, iaitu platform ForgeStar yang boleh kembali ke bumi dengan selamat selain boleh diperbaharui dan kemudian dilancarkan semula.

"Meneroka ke angkasa telah menjadi jauh lebih murah," kata Joshua Western, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Space Forge kepada Reuters.

"Tetapi apa yang tidak berubah pada masa itu adalah kos untuk mereka bentuk, membina dan menyesuaikan satelit," kata Western.

"Tetapi jika ada peluang untuk mengembalikan satelit dari angkasa lepas, kita mempunyai peluang untuk membaiki dan melancarkannya semula."

ForgeStar-0, kenderaan angkasa pertama yang direka dan dibina di Wales, akan dilancarkan di Virgin Orbit's LauncherOne dari Spaceport Cornwall bulan depan.

Misi pertama akan menguji perisai haba yang boleh digunakan, memiliki struktur seperti payung yang digambarkan sebagai evolusi teknologi pesawat pergi balik, yang akan melambatkan dan melindungi kapal angkasa yang bergerak untuk kembali ke atmosfera Bumi, walaupun misi itu akan diuji ke titik tidak kembali atau ‘to point no return’ untuk pensijilan.

(Joshua Western, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Space Forge/REUTERS)

“Saya gambarkan ia seperti Mary Poppins. Ia tidak mudah rosak membolehkan kami mengembalikan sistem dan muatan yang mudah rosak atau hancur seperti kapal angkasa tanpa merosakkannya,” kata Western.

Misi masa depan ForgeStar akan dapat mengeluarkan aloi logam, farmaseutikal dan cip pengkomputeran kuantum generasi akan datang secara autonomi, dalam bilik bersih kapal angkasa.

"Faedah terbaik misi ke angkasa lepas adalah tidak melibatkan manusia," kata Western.

“Kami (manusia) kekok, membuat kesilapan, boleh terlepas mengendalikan sesuatu, boleh menambah perkara pada masa yang salah. Jadi membawa sesuatu ke angkasa lepas dan menjalankannya secara robot membolehkan kami menyelesaikan banyak isu tersebut.

Syarikat itu berkata platform tersebut, 3U CubeSat berukuran kira-kira 1 kaki (340mm) panjang, boleh memanfaatkan kuasa mikrograviti dan vakum bebas pencemaran untuk penyelidikan dan pengeluaran.

Suhu yang menghampiri nilai sifar adalah kelebihan besar untuk pembuatan dalam ruang dan boleh membantu menghasilkan 'qubit', cip yang digunakan oleh komputer kuantum, yang sangat sukar untuk dibina dan memerlukan peti ais kriogenik besar untuk beroperasi dengan betul di Bumi.- REUTERS