Wednesday, 8 February 2023

 

Revolusi Industri 4.0, kerajaan komited wujudkan masyarakat celik teknologi

  • Published in Teknologi

BERA, 22 Oktober- Penguatkuasaan literasi digital dalam pengamalan Keluarga Malaysia sentiasa dititikberatkan terutama ketika negara menempuh Revolusi Industri 4.0 dan langkah ke hadapan negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, internet pelbagai benda, analisis dan data raya, integrasi sistem, penggunaan robotik dan pengkomputeran awan yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Malah katanya, Malaysia bersiap siaga meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.

Beliau berkata, literasi digital penting hari ini apatah lagi pada masa hadapan kerana pasaran kerja dalam negara memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikirian kritis.

Katanya, ketika Revolusi Industri 4.0 ini, setiap urusan harian manusia bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik digital khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

"Penggunaan teknologi mutakhir ini membawa cabaran baru kepada semua sektor dalam negara yang memerlukan mereka berubah seiring dengan tranfromasi digital untuk kekal berdaya saing seperti saya sebut tadi niaga digital atas talian, membeli pun atas talian.

"saya percaya anak-anak kita sekarang ini sudah tidak pergi membeli di kedai-kedai. Mereka akan buat pesanan hanta ke rumah. Nak makan pun tidak pergi ke restoran, kalau dulu di bandar besar dengan sesak dan sebagainya, pesan makan pun melalui online," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Perdana Menteri dan Penyerahan Komputer #thetaCares di sini.

Pengunjung yang hadir di Majlis Penyampaian Sumbangan Perdana Menteri dan
Penyerahan Komputer #thetaCares

Pada majlis itu, Theta Edge Berhad telah menyumbang 150 unit komputer ke negeri Pahang bagi membantu komuniti khususnya di daerah sini ke arah pengadaptasian pendigitalan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan, #thetaCares.

Secara keseluruhan, #thetaCares turut menyumbang hampir 800 komputer kepada beberapa negeri di semenanjung seperti Selangor, Pahang, Perak, Melaka dan Terengganu selama hampir lapan bulan #thetaCares beroperasi.