Sunday, 2 October 2022

Tambah baik perkhidmatan jalur lebar, MoU dengan syarikat UAE dimeterai

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 13 September - Kerjasama strategik syarikat Northtelecom Group dan Thuraya Telecommunications membantu negara meningkatkan dan mempercepat keupayaan penyediaan liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar termasuk dalam sektor minyak dan gas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kerjasama syarikat yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam bidang berkaitan telekomunikasi, fiber optik dan satelit.

(Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin)

“Usahasama ini penting untuk mereka beri perkhidmatan satelit di Malaysia yang akan beri manfaat kepada penduduk di kawasan luar bandar dan kawasan terpencil termasuk di lautan bagi sektor pengangkutan, nelayan dan berkaitan.

“Kalau nak tanam fiber optik atau bina pencawang kita perlukan masa dua tahun lagi untuk disiapkan tetapi dengan adanya satelit dari syarikat Thuraya Telecommunications ini, kita dapat beri perkhidmatan backup (sokongan) di kawasan yang tiada liputan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik antara Northtelecom Group, Thuraya Telecommunications dan ScopeTel Sdn Bhd sempena persidangan dan pameran minyak, gas dan petrokimia antarabangsa, OGA x MOGSEC & PSC 2022, di sini.

Syarikat Northtelecom ialah penyedia perkhidmatan komunikasi satelit beribu pejabat di Dubai menawarkan perkhidmatannya kepada pelbagai industri seperti Maritim, Tenaga, Penyiaran, Telekom, Perusahaan dan Kemanusiaan.

ScopeTel Sdn Bhd ialah sebuah syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia pada 1991 dan menawarkan penyelesaian telekomunikasi dan rangkaian berasaskan satelit atau Very Small Aperture Terminal (VSAT).