Sunday, 2 October 2022

Petrosains RBTX Challenge 2022, pupuk minat bidang sains dan teknologi pelajar

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 14 Julai- Pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2022 anjuran Petrosains dijangka menarik penyertaan seramai 10,000 pelajar.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi program yang akan bermula pada September depan, pelajar berpeluang berkongsi minat dalam bidang sains dan teknologi melalui elemen penciptaan, khususnya dalam bidang robotik.

Jelasnya sejak diperkenalkan pada 2018, pertandingan itu turut mendapat sokongan daripada MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), MyDigital Corporation, UBTech dan Microsoft Malaysia.

Tambahnya penganjuran program itu sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui sains, teknologi dan inovasi (STI) yang kukuh.

"Saya percaya program seperti ini akan dapat meningkatkan minat dan tumpuan para pelajar terhadap mata pelajaran STEM sekali gus memupuk sifat ingin tahu dengan menggunakan pendekatan secara praktikal menerusi aktiviti yang menyeronokkan serta dapat meningkatkan kompetensi dan kreativiti melalui aktiviti yang dijalankan secara amali," kata Dr Adham semasa berucap merasmikan Pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2022 di KLCC.


(Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba merasmikan Pertandingan RBTX Challenge 2022 di KLCC hari ini)

Sejak diperkenalkan, Petrosains RBTX Challenge telah mendapat sambutan positif dan memberangsangkan dengan penyertaan dari lebih 800 buah sekolah di seluruh negara.

Pertandingan itu kini dibuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa bermula 18 April hingga 31 Julai 2022 untuk tiga kategori iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Innovation.

Juara Petrosains RBTX Challenge akan memenangi hadiah wang tunai bernilai lebih daripada RM40,000 serta e-sijil daripada Petrosains.

Bagi mengetahui lebih lanjut orang ramai boleh melayari www.petrosains.com.my/rbtx-challenge.