Sunday, 2 October 2022

MOSTI kenal pasti 46 alternatif tangani isu sekuriti makanan

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenal pasti 46 penyelesaian teknologi untuk membantu menangani isu sekuriti makanan.

Kementerian itu juga menawarkan senarai inventori teknologi yang boleh digunakan segera bagi tujuan itu dan kepakaran lebih 800 saintis Akademi Sains Malaysia juga boleh dimanfaatkan dalam mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata MOSTI dan agensi di bawahnya juga giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu menangani isu sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi.

Katanya, antara teknologi boleh digunakan adalah kemudahan penyinaran gamma bagi penjanaan varieti baharu tanaman termasuk penambahbaikan tanaman.

"Agensi Nuklear Malaysia antaranya sedang menjalankan R&D kaedah biak baka mutasi rumput contohnya penghasilan varieti baharu rumput Napier yang lebih tinggi kandungan protein sebagai makanan utama haiwan ternakan seperti lembu dan kambing," tambah kenyataan itu.

MOSTI juga akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan penternak, peladang dan petani serta syarikat teknologi.


(Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, MOSTI/Foto Fail)