Sunday, 2 October 2022

Robocon Malaysia 2022 mengorak langkah baharu penciptaan robot

  • Published in Teknologi

GEORGE TOWN, 2 Jun - Pertandingan Robocon Malaysia 2022 berupaya melahirkan mahasiswa yang mampu berfikir di luar kotak dan menjadi perintis dalam penciptaan robot.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Azlinda Azman berkata pertandingan ini akan mengorak langkah baharu dalam penciptaan robot melibatkan mahasiswa di peringkat Universiti, Kolej, Politeknik dan Pusat Latihan teknologi Tinggi.

"Antara objektif utamanya adalah dijadikan sebagai platform bagi membolehkan mahasiswa di peringkat IPTA/IPTS dan Kolej Komuniti Politeknik untuk menunjukan reka cipta dan inovasi mereka dalam penciptaan robotik," katanya kepada RTM.

Beliau sebelum itu hadir untuk memberi penerangan mengenai pertandingan yang diadakan di konti Mutiara FM.

(Prof Dr Azlinda Azman)

Robocon Malaysia 2022 diadakan bermula hari ini hingga 5 Jun secara bersemuka di Kompleks Sukan Azman Hashim, USM.

Pertandingan dianjurkan bersama USM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Nurul Aida Mohd Nordin berkata pertandingan tersebut mampu mempertingkatkan lagi teknologi robotik selaras dengan perkembangan Industri 4.0.

"Kita ini sebenarnya berada dalam Industri 4.0 yang mana penuh dengan peluang baharu di samping berhadapan dengan cabaran yang berbentuk instruktif.

"Pertandingan Robocon 2022 ini salah satu inisiatif di peringkat pengajian tinggi untuk usaha melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, inovatif dan kreatif terutama dalam penciptaan robot," kata beliau.

(Nurul Aida Mohd Nordin)

Pertandingan juga diharap akan meningkatkan kapasiti penyelidikan dan meluaskan jaringan kerjasama strategik antara pihak industri.

Sekali gus mengukuhkan ekosistem dan infrastruktur teknologi robotik untuk mahasiswa pada masa akan datang.