Sunday, 26 June 2022

Teknologi MARDI lonjak nilai tambah sektor agromanakan Sabah

  • Published in Teknologi

KOTA KINABALU, 15 Mei- Teknologi diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berupaya melonjakkan lagi nilai tambah sektor agromakanan tempatan Sabah, selain memacu pembangunan industri pertanian mahupun penternakan di negeri itu.

Pengarah MARDI Sabah, Helda Souki berkata, Sabah mempunyai banyak sumber yang berpotensi besar untuk dikembangkan, malah jika diberi nilai komersil ia mampu menjadi produk berdaya saing di pasaran.

Mengambil contoh pemprosesan jus buah bambangan dan minuman berasaskan buah itu, beliau berkata MARDI Sabah telah memperkenalkan kaedah pemprosesan lebih baik berbanding konvensional seperti sebelum ini yang hanya mencampurkan puri buah eksotik itu dengan air dan gula sahaja.

“Kaedah sebenar telah diperkenalkan kepada para pengusaha di Sabah, iaitu penghasilan jus minuman memerlukan kaedah tepat bagi memastikan ketahanan produk, dan dalam masa sama rasa serta aromanya dapat dikekalkan,” katanya kepada Bernama.

Bambangan atau nama saintifiknya mangifera pajang adalah sejenis buah yang tumbuh liar di hutan dan boleh ditemui di seluruh Sabah dengan isinya berwarna kuning serta rasanya masam manis seperti mangga.

Selain teknologi pemprosesan jus bambangan, Helda berkata pasukan penyelidik di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI juga telah menghasilkan alat pencetak kuih cincin, kuih tradisi popular di Sabah yang mudah digunakan dan memberi bentuk serta saiz seragam.

Beliau berkata teknologi diketengahkan MARDI kepada para usahawan agromakanan Sabah tidak hanya terhad kepada penggunaan mesin semata-mata, sebaliknya turut merangkumi teknologi dalam aspek pemprosesan, pembungkusan dan ketahanan produk.

Katanya penggunaan teknologi dalam pemprosesan akan dapat meningkatkan lagi kualiti produk usahawan tempatan yang sekali gus berpotensi menembusi pasaran lebih luas.

Menurutnya MARDILab Kota Kinabalu turut menyediakan perkhidmatan menganalisis produk makanan dan pertanian sebelum ia dipasarkan kerana produk bagi pasaran tempatan dan eksport memerlukan analisis ditawarkan oleh makmal berakreditasi.

“Bagi memenuhi keperluan itu, MARDILab Kota Kinabalu telah ditauliahkan dengan akreditasi MS ISO/IEC17025 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia pada 2014. Pentauliahan ini adalah kejayaan MARDI dalam membantu memartabat dan memperluaskan lagi produk tempatan Sabah ke persada global,” katanya.

Mengulas lanjut Helda berkata, MARDI Sabah optimis untuk terus meningkatkan perkhidmatan dan kebolehlihatan (visibility) kepada masyarakat dengan memindahkan teknologi berdaya maju, memperkasa kepakaran dan menjalin kerjasama dengan jabatan, agensi serta pihak swasta.

“Ini bagi memastikan ilmu dan teknologi sedia untuk dipindahkan dapat diperolehi serta menjadi pencetus ke arah melahirkan usahawan tani berjaya dalam industri pertanian moden yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu Helda berkata MARDI turut memperkenalkan projek ayam saga iaitu ayam kampung hasil daripada penyelidikan agensi itu yang kini telah dimulakan di beberapa daerah di Pantai Timur Sabah dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri.

Beliau berkata ayam saga mempunyai keunikan rasa tersendiri dan tempoh matang hanya mengambil masa lebih kurang tiga bulan sahaja berbanding ayam kampung asli yang memerlukan antara empat hingga lima bulan.

Menurutnya kerja-kerja yang dilaksanakan MARDI Sabah menerima sambutan sangat baik apabila ramai usahawan, malah syarikat dan agensi turut membuat permohonan untuk menyertai latihan, ceramah serta khidmat teknikal untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi pertanian pintar.

“Ini merupakan indikator penting yang memperlihatkan rakyat Sabah semakin peka dengan keperluan teknologi moden dalam membantu melonjakkan pembangunan industri pertanian dan makanan yang semakin kompetitif,” katanya.