Sunday, 26 June 2022

Kandungan media sosial perlu diteliti, tambah baik akta - Annuar

  • Published in Teknologi

KOTA BHARU, 28 April- Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang membuat penelitian bagi menambah baik akta sedia ada, supaya tindakan dapat diambil kepada kandungan yang menyalahgunakan media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata sebahagian besar garis panduan mengenai kandungan sudah ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya daripada satu sudut, akta sedia ada boleh dianggap memadai, namun apabila kandungan yang dimuat naik daripada platform luar negara, undang-undang negara tidak dapat melangkauinya.

“Misalnya kalau dia muat naik dalam Facebook dan Twitter, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tiada kuasa untuk tarik melainkan minta tolong kepada platform yang berada di luar negara, itupun kena ada siasatan awal kemudian dibawa ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum memohon kepada negara terlibat untuk dapatkan kerjasama.

“Jadi proses agak panjang, sebab itu kita memang sedang membuat penelitian kepada akta sedia ada sekiranya ada ruang yang boleh kita tambah baik dan kita sesuaikan dengan pengalaman yang kita lalui dalam menguruskan perkara ini,” katanya.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Zakat Fisabilillah kepada 259 pelajar tingkatan enam Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan berhasrat untuk mengetatkan undang-undang sedia ada, berikutan ada kandungan yang dimuat naik dalam media sosial dilihat melanggar undang-undang.