Sunday, 26 June 2022

AMIM sambut baik keputusan kerajaan teruskan semula projek perolehan LCS

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 22 April- Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) menyambut baik keputusan kerajaan yang meluluskan supaya projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan semula.

Justeru, AMIM mahu semua pihak berkepentingan bergerak ke hadapan dan menumpukan usaha menjayakan projek yang penting untuk negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, AMIM bagaimanapun menegaskan bahawa projek mega berkaitan perkapalan perlu diuruskan dengan telus di samping peserta industri diberikan peluang secara adil serta terbuka dan bukan secara rundingan terus.

Presiden, Soo Jee Main berkata pihaknya meminta kerajaan untuk tidak memberikan projek pembinaan kapal tentera Malaysia kepada limbungan negara luar kerana ia akan merencatkan aspirasi negara untuk menjadi negara maritim terkemuka di rantau ini.

“Limbungan di Malaysia mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk membina kapal perang bagi memenuhi keperluan industri pertahanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata projek kapal tentera atau pertahanan mesti dibina di Malaysia kerana limbungan kapal, pembuat kapal dan pereka kapal mempunyai pengalaman lebih 100 tahun sejak penubuhan limbungan kapal pertama di Malaysia, Brooke Dockyard, pada awal 1900-an.

Industri pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBSR) di Malaysia meliputi pembinaan pelbagai jenis kapal seperti feri, tongkang, kapal tunda, kapal sokongan luar pesisir, kapal layar, kapal nelayan, kapal perang dan kapal peronda, katanya.

“Kita telah mengeksport kapal buatan Malaysia ke negara luar seperti Australia, New Zealand, Kepulauan Pasifik (Fiji, Tokelau, New Caledonia), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Turki, Indonesia, Thailand dan juga jiran terdekat, Singapura,” katanya.

Soo turut menyatakan komitmen dan kesungguhan AMIM untuk mengembangkan kempen ‘Kapal Buatan Malaysia’.

“Dalam masa yang sama, SBSR serta kesannya terhadap keseluruhan ekosistem industri maritim dapat memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi Malaysia.

“Sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara, perkembangan industri ini dapat memperkasakan rakyat menggalakkan perniagaan dan merancakkan kembali ekonomi,” katanya.

Menurut AMIM, tentera laut UAE telah mengiktiraf kepakaran dan kemahiran Malaysia apabila membeli kapal latihannya sepanjang 80 meter, YD987, yang dibina di Shin Yang Shipyard Sdn Bhd yang berpangkalan di Miri, Sarawak.

Bukan itu sahaja, Piasau Slipways Sdn Bhd, sebuah limbungan kapal milik Shin Yang berjaya membina dan menghantar dua unit kapal Pendarat Alquwaisat dan Alputaisi kepada tentera laut UAE pada 2013, tambahnya.

(Foto fail)

AMIM menjelaskan, kerajaan Malaysia juga telah memperkukuh armada pertahanan laut dengan pembelian enam bot pemintas laju (FIC) yang dibina oleh syarikat tempatan, Gading Marine Industry Sdn Bhd (GMI) berpangkalan di Kawasan Perindustrian Pelabuhan Lumut.

Pada 20 April, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor berkata Kabinet sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terdapat 400 vendor terlibat dalam projek tersebut dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.

Daripada 400 vendor yang terlibat, lebih 100 vendor adalah syarikat milik rakyat Malaysia dengan 90% ada hubung kait dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).