Thursday, 26 May 2022

Mesin Pengorek Terowong Projek ECRL memudahkan pembinaan terowong berkembar Genting

  • Published in Teknologi

GENTING, 16 Januari - Mesin Pengorek Terowong (TBM) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai tahap pemasangan 85% setakat ini.

Mesin rekaan khas teknologi dari China itu sesuai dalam penggunaan keadaan batuan keras, sekali gus memudahkan pembinaan terowong berkembar Genting.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata terowong itu adalah yang pertama dikorek menggunakan TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang telah digunakan untuk terowong ECRL sedia ada.

"Kapasiti penggalian maksimum 700 meter sebulan membolehkan TBM menjalankan tiga tugas utama bawah tanah. Antaranya menggali terowong, mengangkut sisa galian ke permukaan dan memasang panel konkrit sebagai dinding terowong," katanya lagi.

Pemasangan TBM yang terbesar pernah digunakan di negara ini, dijangka selesai sepenuhnya Mac depan.

Menurutnya, mesin TBM seberat 900 tan dengan 25 meter panjang serta diameter berukuran 8.98 meter akan melalui pemeriksaan ketat dan siri-siri ujian sebelum dibenarkan beroperasi.

Proses penembusan Terowong Genting menggunakan TBM dijangka mengambil masa selama tiga tahun.

"Kemudahan ini bakal memberi manfaat buat rakyat tempatan dan syarikat bumiputera pada masa akan datang," tambahnya lagi kepada pemberita.

Projek mega ECRL dijangka siap sebelum 31 Disember 2026.