Monday, 16 May 2022

Kerjasama LOTUS MFZ-UniMAP lonjak kemajuan teknologi solar photovoltaic

  • Published in Teknologi

ARAU, 13 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah ke hadapan ke arah perkembangan kemajuan teknologi solar photovoltaic (PV) menerusi kerjasama dengan Lotus MFZ Green Tech (M) Sdn Bhd (LOTUS MFZ).

Kerjasama itu termeterai menerusi Memorandum Perjanjian Persefahaman antara UniMAP yang diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Dr. Zaliman Sauli manakala LOTUS MFZ diwakili Ketua Pengarah Eksekutif, Asmadi Tu.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr. Zaliman Sauli berkata, usaha tersebut merupakan satu inisiatif proaktif yang diambil Lotus MFZ dalam usaha pembangunan dan penyelidikan bidang teknologi hijau bersama pihak UniMAP.

Menerusi kerjasama itu juga katanya, UniMAP akan sentiasa berusaha untuk menyumbangkan kepakaran ilmu dan teknologi kepada Lotus MFZ melalui penyelidikan jangka masa pendek dan panjang.

Kerjasama antara kedua-dua pihak tertumpu kepada program pemindahan teknologi dan kebolehpasaran graduan UniMAP selain ke arah kemajuan teknologi khususnya teknologi hijau.

"20 peratus daripada bilangan pelajar ini dapat kita salurkan untuk mengikuti latihan-latihan industri di Lotus Technology dalam bidang-bidang berkaitan dengan Photovoltaic.

"Kita anggarkan dalam masa 3 tahun itu, mungkin di antara 80 hingga 120 orang," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman bersama Ketua Pengarah Eksekutif Lotus MFZ, Asmadi Tu di Kampus UniMAP, Pauh Putra.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Lotus MFZ, Asmadi Tu berkata, sebagai sebuah syarikat solar photovoltaic yang pertama di Perlis, Lotus MFZ bertekad memperluaskan pemasangan teknologi solar dan penglibatan pelajar UniMAP sebagai peluang meningkatkan kemahiran serta pengetahuan berkaitan teknologi solar.

"Kebolehpasaran pelajarlah untuk kita ketengahkan sebagai satu produk yang terbaik supaya mereka berada di bidang pekerjaan yang sebenar.

Mereka dapat implikasikan benda ini. Jadi itu yang kita hendak ambil pelajar. Apa benefit yang Lotus dapat, supaya kita dapat mengurangkan peningkatan tenaga elektriklah, penjimatan tenaga yang kita boleh bantu pihak UniMAP," katanya.

Menurut beliau lagi, lebih banyak kerjasama untuk kemajuan teknologi dijangka dilaksanakan bersama UniMAP pada masa hadapan dalam meningkatkan indeks matlamat pembangunan mampan negara ke tahap tertinggi.