Thursday, 20 January 2022

updated 1:07 AM UTC, Jan 20, 2022

Pembangunan aplikasi maklumat kini perlu mesra OKU elak jurang digital

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 4 Januari - Perkembangan pesat teknologi maklumat dengan pelbagai inovasi baharu memberi kesan besar terhadap corak kehidupan manusia yang serba moden dan canggih.

Perkembangan teknologi itu juga tidak seharusnya terhad kepada keperluan kumpulan tertentu sahaja, sebaliknya perlu merangkumi semua pihak termasuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Ia kerana mereka memerlukan kaedah yang lebih praktikal untuk mengakses sendiri lambakan maklumat yang datang dalam pelbagai saluran.

Menurut Editor Penterjemah Braile, Persatuan Orang Buta Malaysia Umashangari Selvaman keperluan semasa adalah mempermudah akses bahan bacaan untuk OKU penglihatan kerana ia elemen penting dalam memperkasa golongan itu.

Umashangari yang ditemu bual wartawan RTM, Ravin Shanmugan sempena sambutan Hari Braille Sedunia hari ini berkata langkah itu juga penting bagi mengurangkan jurang perbezaan digital antara OKU penglihatan dengan masyarakat biasa.

Ia sekali gus meningkatkan akses golongan itu kepada pelbagai medium maklumat.

“Tapi kita tak nafikan ada sedikit kekangan Apps, mana-mana laman web yang benar benar boleh akses untuk OKU, Sebenarnya saya ketengah ini pun untuk OKU penglihatan. Ada banyak perkara yang perlu diberi perhatian, jelas Umashangari yang berpengalaman lebih 4 tahun sebagai Editor Penterjemah Braille.

“Contoh tidak ada penerangan untuk imej. Kalau pengguna rabun, menyusahkan mereka juga, video tanpa penjelasan pun mereka tak dapat akses”, tambahnya.

Umashangari yang lebih mesra dipanggil Uma mahu akses kepada penterjemah perlu dibangunkan meski pun latihan itu tidak sesukar mana.

Jurubraille Berkomputer, Noor Izati Meor Samsudin rakan sekerja Uma juga mahu akses penterjemahan perlu dibangunkan.

"Biasanya di sini kalau kerja saya ini akses kepada penterjemahan tidak susah mana. Kita sudah guna teknologi selain latihan diberikan serta pengalaman yang ada, namun untuk akses kepada penterjemahan perlu dibangunkan, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid optimis kementerian akan memastikan guru yang mengajar murid berkeperluan khas penglihatan mempunyai kemahiran braille termasuk membaca, membraille atau mentranskrip tulisan braille.

“KPM telah meluluskan peralihan penggunaan kod British Braille Primer (BBP) kepada kod Unified English Braille (UEB) secara berperingkat mulai tahun ini 2022. Perubahan ini tentunya dapat membantu Murid Berkeperluan Khas (MBK) kurang upaya penglihatan mendapat maklumat dan berkongsi bahan penerbitan braille menggunakan format EUB dengan meluas secara dalam talian”

Hari Braille Sedunia yang disambut pada setiap 4 Januari adalah untuk meraikan kesedaran kepentingan Braille sebagai cara komunikasi dan realisasi penuh hak asasi manusia untuk orang buta dan orang tidak sempurna penglihatan.

Untuk rekod, braille digunakan lebih 100 tahun namun ia hanya mula diraikan pada 2019.