Friday, 27 May 2022

Negara bakal dilengkapi sistem amaran banjir PABN pada 2023

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR,31 Disember - Malaysia bakal dilengkapi Sistem amaran Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PABN) pada 2023 dengan 95 peratus ketepatan ramalan.

Jelas Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, sistem berkenaan akan mengeluarkan ramalan banjir, tujuh hari sebelum ia melanda kawasan terlibat.

Sistem amaran itu sedang diuji di negeri-negeri utara termasuk Pulau Pinang dan Kedah.

"Kita mula dengan beberapa lembangan sungai utama yang penting ialah Kelantan,Terengganu dan Pahang. Itu dah siap di utara dah siap sekarang ini dalam fasa percubaan di kawasan yang tidak ada kita guna ramalan cuaca paras air bukan takde terus", kata Dr Zaini dalam sidang media lawatan kerja Perdana Menteri ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, di sini.

Menurut beliau, sistem itu memberi amaran dengan membunyikan siren seawal dua hari sebelum banjir berlaku.

Ia juga bakal dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan kedudukan paras banjir secara masa nyata atau 'real time'.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke pusat ramalan itu bagi meninjau situasi terkini banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri seterusnya diberi taklimat yang berlangsung selama lebih sejam.

Sementara itu, Zaini memaklumkan, amaran siren telah dikeluarkan ketika kejadian banjir yang berlaku di Sri Muda, Shah Alam pada 18 Disember lalu.

Namun, amaran itu menghadapi masalah teknikal akibat gangguan elektrik sehingga menyebabkan bunyi siren tergendala.