Friday, 27 May 2022

Menara komunikasi terjejas akibat banjir dibaik pulih

  • Published in Teknologi

SHAH ALAM, 23 Disember - Kerja baik pulih menara komunikasi yang terjejas akibat banjir di Selangor giat dijalankan.

Usaha tersebut dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi.

Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Annuar Musa, setakat semalam, sebanyak 342 menara komunikasi terjejas di Selangor.

"Daripada jumlah itu, 153 menara telah berjaya beroperasi semula manakala 189 menara masih dalam baik pulih. Antara kekangan yang dihadapi dalam menjalankan baik pulih tersebut termasuk halangan akses ke lokasi menara selain bekalan elektrik telah diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan keselamatan penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak MCMC juga telah membuat perbincangan dengan persatuan radio amatur untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan radio amatur sebagai saluran perhubungan alternatif bagi kawasan terlibat.

Kini, beberapa sistem radio amatur telah mula beroperasi dan ditempatkan di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.

Menurut kenyataan yang sama penduduk perlu bersabar sementara tindakan mitigasi giat dijalankan, bagi memastikan mereka dapat kembali menikmati perkhidmatan telekomunikasi seperti sedia kala.