Friday, 27 May 2022

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau pakej jalur lebar mudah alih yang ditawarkan kepada pengguna

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau pakej jalur lebar mudah alih yang ditawarkan kepada pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia bagi memastikan pengguna dapat menikmati kemudahan internet pada harga berpatutan.

Jelas beliau, pakej asas jalur lebar mudah alih prabayar ditawarkan pada harga RM10, manakala harga pakej asas jalur lebar mudah alih pascabayar ditawarkan pada harga RM8.

Secara umumnya, pengguna boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih dengan harga serendah 27sen sehari.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), pembekal perkhidmatan mudah alih utama juga menawarkan internet secara percuma sebanyak 1GB setiap hari (bersamaan 30GB data percuma setiap bulan) bermula dari 1 April 2020 sehingga akhir 2021.

Penggunaan data percuma 1GB ini boleh digunakan untuk aktiviti produktiviti dan khusus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Di samping itu, Pakej Remaja Keluarga Malaysia juga telah diperkenal untuk remaja dan pelajar berusia 12 hingga 21 tahun.

Ia membolehkan mereka mendapatkan pakej prabayar data 20GB pada harga RM30 untuk 90 hari atau RM10 sebulan mulai 15 Oktober lalu hingga 15 April 2022.