Saturday, 24 October 2020

updated 9:17 AM UTC, Oct 24, 2020

'Robocop' muncul di KL Sentral, kesan suhu badan penumpang

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Bagaikan adiwira.

Anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencuri tumpuan di KL Sentral apabila muncul seakan 'Robocop'.

Namun, ia bukanlah lakonan watak, sebaliknya anggota keselamatan itu tampil memakai topi keledar pintar yang dipanggil 'Smart Helmet' untuk mengesan suhu badan penumpang secara terus.

Kreatif dan Inovatif.

Anggota Polis Bantuan KTMB membuat rondaan di platform kereta api sebelum memasuki gerabak untuk mengimbas penumpang yang bergejala menerusi alat teknologi canggih ini.

Mula diaplikasikan Isnin lalu, 'Smart Helmet' kini dalam peringkat percubaan selama 14 hari dan digunakan di KL Sentral sahaja.

Buat masa ini, hanya dua anggota Polis Bantuan menggunakan topi keledar pintar tersebut pada satu-satu masa.

Menurut Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi, perkhidmatan terbaharu itu adalah bukti komitmen pihaknya dalam meningkatkan keyakinan penumpang terhadap penjagaan keselamatan.

Selepas tempoh percubaan dua minggu, pihak KTMB akan menilai keberkesanan 'Smart Helmet'.

Seterusnya, mempertimbang untuk memperluaskan penggunaannya di stesen-stesen utama.

Pada masa sama, kaedah sedia ada termasuk penggunaan pengimbas suhu serta cecair pembasmi kuman di luar dan dalam tren terus dipraktikkan.