Logo

Menteri Kewangan tidak pengerusikan mesyuarat Tabung Haji

PUTRAJAYA, 19 Feb - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menafikan kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji, TH.

Isu tersebut timbul selepas tersebar sekeping gambar mendakwa Menteri Kewangan menjadi pengerusi mesyuarat.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Dr. Mujahid menjelaskan gambar itu sebenarnya menunjukkan sesi kunjung hormat beliau bagi menerangkan gagasan Rahmatan Lil Alamin pada 18 Februari lalu.

Sesi tersebut turut dihadiri beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM.

Menurut kenyataan itu, gambar berkenaan sengaja disebarkan dengan tujuan sempit menyemarakkan kebencian kaum dan agama di Malaysia.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan orang ramai dinasihat tidak mempercayai penularan berita palsu dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas TH dan bukan Menteri Kewangan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.