Shi Feng juara perseorangan lelaki Seluruh England
(Shi Feng meraikan kejayaan selepas menang menentang Yu Qi Shi semasa Perlawanan
Akhir Perseorangan Lelaki di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England/AFP)
BIRMINGHAM, 20 Mac- Pemain China, Li Shi Feng mencatat kemenangan terbesar dalam kariernya apabila menewaskan rakan senegara, Shi Yu Qi dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Seluruh England di sini.
Pemain berusia 23 tahun itu menang 26-24, 21-5.
Satu-satunya kejayaan kejohanan seniornya sebelum ini ialah pada tahap Super 100 tetapi kejayaan di sini membolehkan Li digelar sebagai juara Super 1000.
"Saya sangat teruja," kata Li. “Saya tidak mempunyai kata-kata untuk meluahkan perasaan saya buat masa ini. Saya ingin menyasarkan lebih banyak gelaran," tambahnya.
Dalam acara wanita, pemain nombor dua dunia, An Se-Young menjadi pemain perseorangan Korea pertama memenangi gelaran Seluruh England dalam tempoh 27 tahun setelah mengetepikan juara Olimpik, Chen Yufei.
An, 21, mengambil masa sejam 15 minit untuk menang 21-17, 10-21, 21-19.
Pilihan utama beregu lelaki, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pula menepati ramalan apabila menewaskan pasangan senegara ,Indonesia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan 21-17, 21-14.
Mereka merupakan juara beregu lelaki Seluruh England keempat yang berbeza dari Indonesia dalam tempoh enam tahun.
Dalam acara beregu wanita, pemenang pingat gangsa Olimpik, Kim So-yeong dan Kong Hee-yong menewaskan gandingan Korea Baek Ha-na dan Lee So-hee 21-5, 21-12.
Sementara itu juara dunia beregu campuran, Zheng Siwei dan Huang Yaqiong menewaskan pasangan Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung 21-16, 16-21, 21-12. -AFP
(Reaksi Yu Qi Shi ketika menentang Li Shi Feng semasa Perlawanan Akhir Perseorangan
Lelaki di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England/AFP)
- Written by Media Baharu
- Category: Sukan
- Hits: 136