Sunday, 26 March 2023

Bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Abdul Hamid Ramli meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Abdul Hamid Ramli yang beraksi pada Piala Asia AFC di Tabriz, Iran pada 1976 dan Piala Asia AFC di Kuwait pada 1980 meninggal dunia awal pagi tadi.

Kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Facebook mengesahkan Allahyarham menghembus nafas terakhir pada usia 68 tahun, akibat komplikasi jantung.

"Salam takziah diucapkan kepada waris dan keluarga Allahyarham Abdul Hamid Ramli, yang meninggal dunia awal pagi tadi. Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solehin." menurut kenyataan itu.

Selain menjuarai Pestabola Merdeka 1976 dan 1979, Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1953 menganggotai skuad negara yang mengutip pingat emas pada Sukan SEA Jakarta 1979.

Seangkatan dengan mendiang Datuk R. Arumugam, mendiang Ong Yu Tiang dan mendiang Peter Rajah, Allahyarham bersaing hebat untuk mengawal gawang negara.

Asalnya dipanggil menyertai skuad kebangsaan oleh Allahyarham Jalil Che Din pada 1975, Abdul Hamid menembusi pintu skuad utama apabila dipilih menjadi penjaga gol kedua kepada Arumugam pada pusingan akhir Piala Asia AFC di Iran pada 1976.

Pada 1979, Abdul Hamid akhirnya menjadi penjaga gawang utama, membantu skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC di Kuwait, menjuarai Pestabola Merdeka dan mengutip pingat emas Sukan SEA.

Bagaimanapun, atas sebab komitmen kerja, Abdul Hamid menarik diri daripada skuad pra-Olimpik 1980.

Pada zaman kemuncaknya, Abdul Hamid menganggotai skuad Kelantan yang dibarisi nama-nama besar seperti Nik Fauzi Hassan, Mahadi Yussof, Kamaruddin Mohd Nor, Yassin Mohd Noor, Nik Salleh Nik Man dan Ramli Abdullah.

Mendirikan rumah tangga dengan Fatimahwati Dahlan, Allahyarham dikurniakan lapan anak.

  • Written by Media Baharu
  • Category: Sukan
  • Hits: 543