Liga M3 dijenamakan sebagai liga kejuaraan MBSB Bank
- Written by Media Baharu
- Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Liga M3 dijenamakan semula sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank (MBSB Bank Championship) melalui Perjanjian Penajaan yang dimeterai antara Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank).
Pengumuman penjenamaan itu dibuat pada majlis penandatanganan Perjanjian Penajaan yang disempurnakan oleh Pengerusi AFL Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Datuk Nor Azam M Taib di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak hari ini.
AFL dan MBSB Bank dalam satu kenyataan bersama memaklumkan penjenamaan itu sekali gus mengangkat semula pertandingan bola sepak peringkat amatur di negara ini.
Mohd Yusoff berkata kerjasama itu membuktikan liga tempatan bertaraf semi-profesional dan amatur mempunyai potensi cukup besar untuk diterokai dari sudut komersial.
“Kehadiran MBSB Bank melambangkan penerimaan komuniti perniagaan terhadap sukan bola sepak di peringkat amatur yang berteraskan komuniti setempat ini. Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat luar mahupun tempatan agar memberi perhatian kepada sukan bola sepak di peringkat amatur,” katanya.
(Mohd Yusoff (dua kiri) pada majlis penandatanganan perjanjian penajaan, hari ini/FOTO AFL)
Sementara itu, Nor Azam berharap penglibatan MBSB Bank akan menyemarakkan lagi aksi di padang bola sepak dan sokongan pihaknya dapat merealisasikan hasrat pengurusan AFL untuk melihat liga itu muncul sebagai salah satu liga terunggul di negara ini.
MBSB Bank, sebuah bank patuh syariah yang progresif, selaku penaja utama dan rakan bank rasmi AFL juga merupakan penaja bersama untuk Liga M4 dan Liga M5 yang dikendalikan oleh AFL. -BERNAMA