Tuesday, 21 March 2023

Pan Gon akui kehadiran Josue, Dos Santos tajamkan serangan Harimau Malaya

  • Published in Sukan

JOHOR BAHRU, 19 March - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersedia memberi lebih masa untuk dua pemain naturalisasi baharu, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos menyesuaikan diri dengan gaya permainannya.

Pan Gon ketika ini mengendalikan sesi latihan skuad Kebangsaan di Padang Sri Gelam, Johor Bahru, menjelang dua aksi persahabatan antabangsa Tier One, pada minggu depan.

Menurut Pan Gon, Josue dan Dos Santos telah membuktikan kemampuan dan kualiti mereka dalam saingan liga sebelum ini.

Justeru, pengendali kelahiran Korea Selatan itu percaya amat penting untuk mereka cepat menyesuaikan diri dengan rentak permainan skuad kebangsaan. 

"Seperti anda katakan, Joshua dan Dos Santos...kami menaruh harapan tinggi terhadap mereka agar dapat membantu mempertajamkan serangan kami, tetapi kami tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada mereka. Kami (terlebih dahulu) berusaha untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan pasukan, agar mereka dapat meneroka potensi diri.

"Saya rasa mereka sudah membuktikan kebolehan diri mereka dalam Liga Super. Saya rasa semua orang tahu bahawa mereka permain yang berkualiti tinggi, tetapi saya rasa peminat dan saya sendiri, memerlukan sedikit kesabaran kerana mereka juga manusia, tidak mudah untuk mereka menyesuaikan diri.

"Kami perlu memberi sokongan penuh kepada mereka supaya dapat membantu, kami," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pertama skuad itu di padang Padang Sri Gelam, di sini semalam.

Selain dua pemain kelahiran Brazil itu, Pan Gon turut memanggil 12 muka baharu menyertai latihan pusat skuad Kebangsaan.

Antaranya penjaga gol Damien Lim, Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, Feroz Baharudin dan pemain kelahiran Finland, Nooa Laine yang beraksi untuk kelab Divisyen teratas negara itu, SJK Seinajoki.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong pada 28 Mac di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

(Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon/FOTO BERNAMA)