Dua atlet negara dinobat Olahragawan, Olahragawati UiTM 2022
- Written by Media Baharu
- Published in Sukan

SHAH ALAM, 19 Mac - Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2022 pada Majlis Anugerah Sukan UiTM malam tadi.
Aniq Kasdan yang dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, menyifatkan anugerah yang dimenanginya itu sebagai suntikan semangat untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.
Sementara itu, Nur Ain Nabilah, turut meluahkan penghargaannya apabila meraih anugerah tersebut buat kali kedua sejak 2019.
Atlet berusia 25 tahun itu dalam persiapan melayakkan diri ke Kejuaraan Boling Padang Dunia di Australia, Ogos depan.
(Atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi dinobatkan sebagai Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2022)
Kedua-dua atlet yang juga mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi itu masing-masing membawa pulang sijil, piala pusingan dan piala iringi, serta hadiah wang tunai RM1,000 disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi.
Pada majlis itu lapan atlet lelaki dan tujuh atlet wanita berentap bagi merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2022.
Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen yang ditunjukkan atlet dan pegawai yang mengharumkan nama UiTM dalam arena sukan di pelbagai peringkat.
Sebelum ini sebanyak 15 kategori diberikan kepada atlet dan pegawai yang memperagakan kecemerlangan dalam bidang sukan masing-masing sepanjang tahun lalu.
Anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Olahragawan, Olahragawati, Anugerah Hall of Fame, Anugerah Emas Universiti, Anugerah Perak Universiti, Anugerah Gangsa Universiti, Anugerah Khas Universiti, Anugerah Sijil Penghargaan, Pasukan Cemerlang, Pengurus Cemerlang, Jurulatih Cemerlang, Tokoh Sukan UiTM dan Tokoh Sukan Alumni serta penghargaan khas staf.
(Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dinobatkan sebagai Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2022)