Tuesday, 21 March 2023

All England: Zii Jia akur tersingkir di separuh akhir

  • Published in Sukan

(Gambar fail BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 19 Mac - Harapan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk menamatkan kemarau kejuaraan dimusnahkan oleh Shi Yu Qi dari China pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2023 malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu, Zii Jia terpaksa akur tidak dapat meneruskan langkah ke final apabila tewas 19-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit.

Juara All England 2021 itu memberi tentangan sengit pada set pertama namun gagal menyaingi Shi yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2018.

Pada set kedua menyaksikan Zii Jia sukar menyerap tekanan lawan sekali gus terlepas peluang untuk membawa permainan ke rubber set.

Ini merupakan kekalahan keempat beliau dalam kejohanan yang disertainya pada musim ini iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

Bagaimanapun, bagi Zii Jia mara ke separuh akhir kejohanan dianggap sebagai petanda kebangkitan buat pemain nombor empat dunia itu selepas mengetepikan pemain Jepun Kodai Naraoka.

(Gambar fail BERNAMA)