Sunday, 26 March 2023

Piala TNB: THT juara tewaskan TNB

  • Published in Sukan

(Selaku juara THT pulang hadiah RM50,000, trofi berserta medal)

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Selepas 10 tahun ditubuhkan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah tersendiri meraih kejuaraan treble selepas muncul juara Piala TNB malam tadi.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun muncul wira THT selepas meledak gol kemenangan membantu menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Faizal Saari pada minit ke-20 sebelum TNB berjaya bangkit menyamakan kedudukan melalui Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal minit ke-43.

Namun skuad kendalian Seo Jongho itu kembali dihadapan selepas pakar pukulan sudut penalti meledak gol dipenghujung permainan.

Bagi ketua pasukan, Mohd Fitri Saari, sudah tentu kejayaan tersebut hasil daripada kerja keras dan mendedikasikan kemenangan itu kepada seluruh rakyat Terengganu.

"10 tahun THT ditubuhkan, ini adalah satu sejarah untuk pasukan kita bukannya senang, kami berjuang habis-habisan dan yang penting menjadi satu kebanggan untuk rakyat Terengganu semua,"katanya.

Selaku juara THT membawa pulang hadiah RM50,000, trofi berserta medal.

Sementara TNB sebagai naib juara pula meraih RM30,000 manakala Maybank tempat ketiga membawa pulang RM20,000.


(Ketua Pasukan THT, Mohd Fitri Saari)