Monday, 27 March 2023

JDT sedia lepas pemain wakil skuad negara

  • Published in Sukan

BUKIT JALIL, 19 Mac- Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sentiasa bersedia melepaskan pemainnya mewakili skuad negara sekiranya kejohanan yang disertai tersenarai dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Demikian titah pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail, jika syarat itu dipenuhi, baginda juga bersedia meminjamkan fasiliti serta kepakaran kelab berkenaan sebagai tanda sokongan kepada skuad Harimau Malaya menghadapi sebarang kejohanan.

"Saya akan sentiasa mengizinkan dan beri sokongan sepenuhnya, tetapi kalau tiada dalam jadual FIFA, bagi pandangan saya sebagai orang yang membayar gaji pemain, perkara itu tiada faedah dan membuang masa.

"Jadi kalau kalendar FIFA atau mana-mana pertandingan FIFA, memang bukan sahaja saya memberikan pemain malah sedia tawarkan pasukan kebangsaan apa sahaja teknologi dan fasiliti JDT yang mereka boleh pakai misalnya mereka akan berlatih di Padang Seri Gelam, psat latihan kami."

Kenyataan Tunku Ismail itu sekali gus menepis tanggapan penyokong negara sebelum ini bahawa JDT enggan melepaskan pemainnya menyertai skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon.

Baginda berkata demikian selepas merasmikan projek penggantian rumput baharu Stadium Nasional Bukit Jalil yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

(Tunku Ismail Sultan Ibrahim)