Monday, 27 March 2023

TMJ sedia lepaskan pemain jika sertai FIFA

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sentiasa bersedia melepaskan pemainnya mewakili skuad negara sekiranya kejohanan yang disertai tersenarai dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekiranya syarat itu dipenuhi, baginda juga bersedia meminjamkan fasiliti serta kepakaran kelab berkenaan sebagai tanda sokongan kepada skuad Harimau Malaya bagi menghadapi sebarang kejohanan.

"Saya akan sentiasa mengizinkan dan beri sokongan sepenuhnya, tetapi kalau tiada dalam jadual FIFA, bagi pandangan saya sebagai orang yang membayar gaji pemain, benda itu tiada faedah dan membuang masa.

"Jadi kalau kalendar FIFA atau mana-mana pertandingan FIFA, memang bukan sahaja saya memberikan pemain malah sedia tawarkan pasukan kebangsaan apa sahaja teknologi dan fasiliti JDT yang mereka boleh pakai misalnya mereka akan berlatih di Padang Seri Gelam, Johor Bahru malam ini," katanya selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kenyataan Tunku Ismail itu sekali gus menepis tanggapan penyokong negara sebelum ini bahawa JDT enggan melepaskan pemainnya menyertai skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon.

Baginda turut memberi sokongan penuh kepada skuad Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya ketika ini sedang menjalani latihan pusat untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Seramai 11 pemain JDT menyertai kem latihan pusat kali ini yang berlangsung dalam kalendar FIFA.

(Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim/FOTO Johor Southern Tigers)