Rumput jenis 'Zeon Zoysia' dijangka siap Oktober depan
- Written by Media Baharu
- Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Kualiti padang stadium seluruh negara harus dipertingkatkan demi mutu Liga Bolasepak Malaysia agar tidak terus ketinggalan dengan negara lain khususnya di Asia Tenggara, titah Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut mempersoalkan dengan sesetengah pemilik kelab bola sepak di negara ini yang masih tidak mementingkan kualiti padang di stadium.
Beliau berkata, setiap pasukan seharusnya tidak berdepan kekangan termasuk dari segi kewangan dan kos penyelenggaraan padang baharu.
Baginda memberi contoh rumput jenis 'Zeon Zoysia' yang lebih berkualiti serta tidak menelan kos perbelanjaan tinggi.
"Saya pun tidak faham dan tertanya-tanya (jika ada kelab menolak tawaran KBS). Tetapi sekarang masanya untuk berubah dan saya harap tawaran KBS ini secara tidak langsung akan beri peningkatan kepada pasukan dan ia juga akan beri kesan kepada pasukan kebangsaan.
"Mungkin (pengurusan) tidak tahu apa-apa tentang bola atau tidak ada minat. Negara maju akan beri keutamaan kepada padang dulu kerana padang adalah cermin kepada pengurusan.
"(Kos) selenggara bukan alasan kerana bajet (pasukan) paling kurang RM8 juta manakala kos selenggara tidak lebih RM300,000 setahun.
"Mana logik jika tidak boleh jaga padang sedangkan ada juga pasukan yang dapat bajet lebih RM20 juta daripada kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
(Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan mendengar penerangan berkenaan
rumput baharu yang akan digunakan di Stadium Nasional pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput
Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini/FOTO Johor Southern Tigers)
Proses penukaran rumput stadium berkenaan daripada jenis ‘Cow grass’ kepada Zeon Zoysia dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menawarkan kepada semua 14 pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menampung kos penukaran rumput daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.
Bagaimanapun sebelum melaksanakan inisiatif itu, KBS kini sedang menunggu maklum balas setiap pasukan yang mana inisiatif itu dapat membantu meningkatkan kualiti padang sekali gus mutu permainan setiap pasukan.