All England: Lee Zii Jia mara ke separuh akhir
- Written by Media Baharu
- Published in Sukan

BIRMINGHAM, 18 Mac- Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mara ke separuh akhir terbuka All England selepas menewaskan wakil Jepun, Kodai Naraoka semalam.
Lee Zii Jia yang menduduki kedudukan keempat dunia bergelut sebelum menang dengan keputusan 21-9, 10-21, 21-13.
Terbuka All England tahun ini menyaksikan kejutan besar dengan beberapa pemain ternama tumpas pada pusingan awal.
Lee Zii Jia yang ditemui pemberita berkata, dia masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dan mencari kembali momentum persembahannya.
"Secara keseluruhannya, prestasi hari ini belum lagi mencapai 100 peratus. Tapi saya masih lagi berusaha mencapai prestasi terbaik", kata Zii Jia.
Pada peringkat separuh akhir nanti, Lee Zii Jia bakal bertemu wakil China, Shi Yu Qi yang berjaya menewaskan rakan senegara Weng Hong Yang, dalam aksi dua set 21-9 21-16.
Wakil Denmark, Anders Antonsen melakar kejutan apabila berjaya menewaskan pemain nombor tiga dunia, Anthony Ginting 21-14 9-21 21-17.
Antonsen bakal bertemu Li Shi Feng yang menewaskan seorang lagi wakil negara, Ng Tze Yong 21-11 21-11.
Sementara itu, dalam perseorangan wanita, slot separuh akhir diisi oleh empat pemain terbaik dunia.
Juara bertahan, Akane Yamaguchi menewaskan wakil China, Zhyi Wang 21-19 21-12.
Menanti Yamaguchi di separuh akhir ialah seorang lagi wakil China, Yufei Chen yang menewaskan Gregoria Mariska 24-22 23-21.
Pemain Korea Selatan, An-Se Young mara ke separuh akhir selepas menang percuma ke atas Carolina Marin yang mengalami kecederaan.
An-Se Young bakal bertemu Tai Tzu Ying pada separuh akhir yang bakal berlangsung hari ini.
Tai Tzu Ying mara ke separuh akhir setelah menewaskan He Bing Jiao 21-12 21-11._AFP
(Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia/FOTO AFP)