Wednesday, 1 February 2023

 

Bundesliga: RB Leipzig daki tangga kedua liga

  • Published in Sukan

MUNICH, 25 Januari- RB Leipzig kembali mendaki tangga kedua liga selepas berpesta gol ketika menewaskan pasukan tercorot, Schalke 6-1 semalam.

Pemain tengah RB Leipzig, Dani Olmo menampilkan prestasi terbaik apabila berjaya menjaringkan gol disamping membantu pasukannya dengan hantaran-hantaran menarik dalam perlawanan yang dilangsungkan di laman lawan.

Penyerang antarabangsa Portugal, Andre Silva memulakan pesta gol RB Leipzig pada minit ke-7 perlawanan separuh masa pertama menerusi rembatan jarak jauh.

Leipzig terus melebarkan kedudukan pada minit ke-44 selepas bola rembatan Dani Olmo yang ditepis oleh penjaga gol Schalke, Alex Schwolow melantun kembali sebelum disudahkan oleh Silva menerusi kuisan mudah menjadikan kedudukan 2-0.

Olmo sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' buat tuan rumah apabila bola hantaran lintangnya berjaya disudahkan penyerang Timo Werner pada minit-minit akhir separuh masa pertama perlawanan

Gol tersebut merupakan jaringan pertama bekas penyerang Chelsea itu setelah disisihkan daripada skuad Jerman pada Piala Dunia 2022 di Qatar akibat kecederaan lutut.

Schalke yang menerima ejekan oleh para penyokong kembali mengatur permainan pada separuh masa kedua dengan serangan bertali arus terhadap kubu RB Leipzig.

Hasilnya, mereka berjaya mendapat gol tunggal menerusi pemain tengah, Soichiro Kozuki pada minit ke-56. Menjadikan kedudukan 3-1.

Gol tersebut merupakan gol pertama buat pemain kebangsaan Jepun itu dalam penampilan keduanya buat Schalke.

Dani Olmo membuktikan dirinya sebagai bintang dalam pembikinan apabila meledak gol keempat RB Leipzig menerusi rembatan jarak jauh yang gagal ditepis oleh Schwolow pada minit ke-83. menjadikan kedudukan 4-1.

RB Leipzig terus menekan pertahanan Schalke yang semakin tidak bermaya dengan tambahan dua gol masing-masing oleh Yussuf Poulsen pada minit ke-86 sebelum Benjamin Henrichs menjaringkan gol keenam tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Leipzig kini tidak pernah tewas dalam 15 perlawanan berturut-turut dalam kesemua pertandingan.

Sementara itu, kekalahan kepada RB Leipzig menyebabkan Schalke kekal di tangga tercorot liga-AFP


(Pemain RB Leipzig, Dani Olmo beraksi ketika menentang Schalke/ AFP)