Wednesday, 1 February 2023

 

Badminton: Lee Zii Jia jatuh ke ranking keempat dunia, Beregu lelaki dan wanita pamer peningkatan kedudukan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 24 Januari-Ranking atau kedudukan terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan beberapa perubahan dalam kalangan pemain negara.

Berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Zii Jia yang sebelum ini menghuni ranking kedua, kini turun ke kedudukan keempat.

Zii Jia dipintas pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting manakala Viktor Axelsen dari Denmark mengekalkan statusnya selaku pemain nombor satu dunia.

Zii Jia yang berpisah dengan jurulatih dari Indonesa, Indra Wijaya pada November tahun lalu tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.

Beraksi di Terbuka India minggu lalu pula, pemain berusia 24 tahun itu hanya sekadar mara ke pusingan kedua.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik naik satu anak tangga untuk berada di tempat kedua dunia di belakang pasangan Indonesia, Fajar Alfan-Muhamad Rian Ardianto.

Ini merupakan pencapaian ranking tertinggi dalam kerjaya mereka setakat ini.

Kenaikan ranking itu turut dibantu menerusi pencapaian mereka muncul naib juara Terbuka India, kelmarin.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah juga berjaya memperbaiki ranking apabila naik ke kedudukan keenam dunia.


(Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah juga berjaya memperbaiki ranking ke-6 dunia)