Wednesday, 1 February 2023

 

PSM mahu bertemu Hannah Yeoh, selesaikan kemelut dalaman

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 6 Disember- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berhasrat mengadakan kunjungan hormat dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam masa terdekat.

Kunjungan bagi memberi gambaran sebenar kemelut yang melanda PSM sejak setahun lalu serta membentangkan hala tuju sukan takraw negara.

Jelas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, pihaknya ada menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan, namun ia tertangguh sehingga kini.

Untuk itu, pihaknya perlu berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan untuk menyampaikan maklumat daripada pihak PSM.

"Saya kira isu ini perlu saya selesaikan terlebih dahulu di peringkat dalaman PSM dengan YB Menteri Belia dan Sukan.

Itu yang paling terbaik supaya YB Menteri yang baru tahu isu-isu terkini dan kenapa keperluan itu timbul. Itu dahulu yang perlu diperjelas," kata Mohd Sumali kepada pemberita RTM selepas Majlis Makan Malam Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2022 yang bermula pada 5 hingga 11 Disember ini di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sebanyak 15 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi edisi kali ini.


(Foto Fail)