Wednesday, 8 February 2023

 

Piala Dunia 2022: Sepanyol dan Jerman terikat 1-1, Kanada tersingkir

  • Published in Sukan

(Penyerang Sepanyol, Alvaro Morata (tengah) menjaringkan gol pendahuluan pasukannya pada
perlawanan menentang Jerman dalam saingan Kumpulan E Piala Dunia 2022/ AFP)   

AL KHOR, 28 November - Peluang untuk mara ke peringkat kalah mati masih terbuka selepas Sepanyol dan Jerman terikat 1-1 di Stadium Al Bayt, di sini dalam saingan Kumpulan E Piala Dunia 2022.

Keputusan tersebut menyaksikan hasrat pasukan Jerman untuk mencatatkan kemenangan pertama gagal apabila diikat Sepanyol.

Sepanyol mendahului di separuh masa kedua menerusi Alvaro Morata pada minit ke-62 namun pemain gantian Jerman, Niclas Fullkrug berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Selepas perlawanan ini, Sepanyol menjadi pendahulu kumpulan E namun dengan empat mata selepas dua perlawanan masih belum dapat mengukuhkan kedudukannya.

Sementara nasib Jerman yang hanya meraih 1 mata selepas dua perlawanan ditentukan pada perlawanan terakhir berhadapan Costa Rica, pada Jumaat ini.

Manakala Sepanyol pula akan berhadapan dengan wakil Asia, Jepun dengan kesemua perlawanan akan berjalan serentak.


(Penyerang Jerman, Leroy Sane (tengah) melarikan bola sambil diperhatikan penjaga gol Sepanyol,
Unai Simon pada saingan Kumpulan E Piala Dunia 2022/ AFP)   

Sementara itu, pasukan Kanada menjadi pasukan terbaharu menamatkan kempen Piala Dunia 2022 dalam kumpulan F susulan kekalahan terbaharu 1-4 kepada Croatia.

Meskipun Alphonso Davies berjaya meletakkkan Kanada seawal minit kedua di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, kelebihan tersebut hanya bertahan sehingga minit ke-36.

Andrej Kramaric berjaya menyamakan kedudukan buat Croatia sebelum Marko Livaja memastikan The Vatreni mendahului menuju waktu rehat.

Pada babak kedua, Kramaric melakar gol kedua pada minit ke-70 sebelum Lovro Majer memastikan kemenangan bergaya Croatia pada masa kecederaan.

Selepas ini Croatia akan berhadapan Belgium manakala Kanada akan berhadapan Maghribi untuk melengkapkan jadual kumpulan.