Thursday, 8 December 2022

KBS terus beri sokongan kepada e-Sukan

  • Published in Sukan

(Foto hiasan)

PUTRAJAYA, 3 Oktober- Industri e-Sukan masih berada dalam pelan bajet Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meskipun atletnya gagal meraih keputusan positif dalam beberapa kejohanan termasuk Sukan SEA Vietnam 2021.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengukuhan industri yang amat popular dalam golongan belia itu akan terus menjadi fokus KBS tahun hadapan.

Jelas beliau, pembangunan sektor e-Sukan seharusnya dinilai secara menyeluruh, termasuk fasiliti dan bukan hanya berdasarkan hasil penyertaan dalam kejohanan yang disertai.

"Walaupun kejohanan antarabangsa yang disertai mendukacitakan, namun industri e-Sukan begitu menggalakkan. Jadi kita cuba memperhebatkan industri itu berkembang dengan lebih baik.

"Dalam masa sama kita juga perlu mewujudkan pemain-pemain yang bertaraf antarabangsa yang dapat memberi saingan di peringkat antarabangasa, dan perkara itu perlu seiring."

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan KBS Trail Run 2022 di Putrajaya.

Sektor e-Sukan dilihat kian berkembang selepas wujudnya hab sukan elektronik di Puchong yang juga menjadi pusat latihan atlet e-Sukan Kebangsaan.

RM15 juta diperuntukkan dalam bajet tahun ini bagi pembangunan e-Sukan negara.

(Faizal Azumu ditemui pada Majlis Pelepasan KBS Trail Run 2022)