Thursday, 8 December 2022

Azeem catat bawah 21 saat dalam acara 200m

  • Published in Sukan

(Muhammad Azeem Mohd Fahmi/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mengakhiri musim 2022 dengan menduduki tempat kelima dalam acara 200m lelaki pada saingan Cabaran Olahraga di Jepun, hari ini.

Atlet pecut muda negara dari Perak berusia 18 tahun itu merakamkan catatan bawah 21 saat (s) iaitu 20.98s di Stadium Denka Big Swan, Niigata.

Ia merupakan pencapaian keempatnya merakamkan catatan bawah 21s untuk tahun ini dengan catatan masa peribadi terbaiknya 20.83s ketika memenangi perlumbaan saringan pusingan awal 200m pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu.

“Saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan dan catatan masa yang dibuat Azeem di sini, selepas mencatatkan 21s pada separuh akhir. Walaupun tamat saingan di tempat kelima, yang penting adalah konsistensi.

“Selepas ini beliau akan membuat persediaan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat,” kata jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, ketika dihubungi di Niigata.

(Atlet Olahraga Perak Muhammad Azeem Mohd Fahmi (tengah) ketika beraksi dalam acara 100m
lelaki akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Nasional Bukit Jali, 16 September 2022/BERNAMA)

Sementara itu, pelari pecut Jepun menakluki podium dalam acara tersebut apabila Uzawa Toba memenangi emas dengan catatan 20.60s, diikuti Keigo Yasuda (20.75s) dan Uemoto Naoki (20.94s).

Dua minggu lalu,  Muhammad Azeem mengungguli acara 100m dengan catatan masa 10.25s pada temasya Sukma di Stadium Nasional Bukit Jali dan menghuni tempat kedua acara 200m dengan masa 21.03s di belakang pemenang Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor dengan masa 21.02s.
-BERNAMA