Thursday, 8 December 2022

Tenis: Hao Sheng, Zenn juarai Terbuka KL

  • Published in Sukan

(Aksi tangkas Koay Hao Sheng ketika menentang lawannya, Rifqy Sukma dalam peringkat akhir
perseorangan lelaki pada Kejohanan TerbukaTenis Kuala Lumpur 2022
di Kompleks Sukan Jalan Duta/BERNAMA)


KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Pemain tenis kebangsaan Koay Hao Sheng kini lebih bersedia untuk bermain dalam kejohanan bertaraf tinggi selepas memenangi gelaran sulongnya dalam perseorangan lelaki di Terbuka Kuala Lumpur (Terbuka KL), hari ini.

Pemain berusia 24 tahun dari Perlis itu muncul juara selepas mengalahkan pemain dari Indonesia Rifqy Sukma Ramadhan 6-4, 6-0 pada perlawanan akhir kejohanan Sirkit Kebangsaa (pusingan tiga) di Pusat Tenis Nasional di sini, sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM8,000.

Hao Seng yang bermain pada kejonanan pertamanya selepas pandemik, berharap gelaran yang dimenangi beliau itu akan dapat meningkatkan keyakinannya bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023 dan Kumpulan III Piala Davies.

“Set pertama agak sukar dan saling bersaing, kerana kami berdua letih selepas bermain sehingga semalam. Walaupun beliau memberikan tentangan, saya berjaya menang set pertama, dan ini menjadikan saya lebih yakin pada set kedua.

“Ia satu gelaran besar untuk saya, saya gembira untuk menang… Namun masih terdapat perkara yang perlu saya perbaiki, terutamanya ketika bermain di jaring,” katanya kepada media selepas perlawanan, sambil menambah lebih banyak perlawanan berintensiti tinggi diperlukan pemain negara untuk cemerlang di Sukan SEA.

Sementara itu pemain berusia 17 tahun dari Selangor Zenn Lim Sze Xuan, menjuarai kategori perseorangan wanita selepas menewaskan Iman Syuhada Abdullah dari Negeri Sembilan, 6-1, 6-2, untuk membawa pulang wang tunai RM5,000.

Zenn berharap kemenangan pertamanya pada peringkat kebangsan ini akan dapat diteruskan pada Piala Premier Sarawak, di mana beliau akan bertanding dalam acara Junior J1 dan J3 Jelajah Tenis Persekutuan Tenis Dunia (ITF), pada minggu hadapan.

“Gaya permainan dia (Iman Syuhada) agak berbeza, beliau banyak bermain bola tinggi, tidak mudah untuk menyerang bola sedemikian, kerana ketiadaan rentak, jadi anda perlu menggunakan dan kerahkan tenaga untuk mengikuti rentaknya, dan dalam masa sama perlu tepat.

“Jadi strategi saya, bermain dengan konsisten dan cuba buat beliau banyak berlari, bemain dekat net sebelum menolak kebelakang dan lakukan lebih banyak pukulan jatuh,” kata Zenn.

Sementara itu Presiden Persatuan Tenis Malaysia Mirzan Mahathir berkata mereka becadang untuk menggalakkan dan menaikkan pemain muda berpotensi termasuk Zenn untuk cemerlang dalan karier mereka.

“Bagi saya agak penting untuk kami, membimbing pemain baharu dalam perlawanan mereka dan bermain pada peringkat kebangsaan. Memenangi gelaran ini satu langkah signifikasi untuk karier beliau (Zenn) … Dia dan pemain lain mempunyai potensi yang besar, tetapi apa yang lebih penting lagi ialah perpindahan daripada bermain di peringkat junior ke kategori terbuka dan meningkatkan standard mereka,” katanya.

Mirzan berkata lebih 180 pemain termasuk 22 dari luar negara menyertai kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM69,250 menerusi lapan kategori.


(Koay Hao Sheng muncul juara dalam kategori perseorangan lelaki pada Kejohanan
Terbuka Tenis Kuala Lumpur 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Jalan Duta/BERNAMA)



Keputusan lain:

Lelaki
Beregu: Daniel Leong Prickett (PRK)-Christian Didier Chin (SAB) mn Imran Daniel (NSE)-Koay Hao Sheng (PER) 4-6, 7-5 (13-11)

Perseorangan Veteran: Dony Collin (INA) mn Nooriman Muhammad (INA) 5-2 (berhenti awal)

Perseorangan Masters: Abd Hazli Zainuddin (NSE) mn Ahmad Hazeeq (PER) 6-1, 6-1

Beregu Masters: Hafizi Hashim (KL)-Ahmad Hazeeq (PER) mn Abd Hazli Zainuddin (NSE) - Paul Poh (PEN) 7-5, 6-3

 

Wanita
Beregu: Jessy Rompies (INA)-Jawairiah Noordin (PEN) mn Iman Syuhada (NSE)-Nao Phang (KL) 6-0, 6-1. -BERNAMA